Thursday, March 22, 2012

Puisi Laila & Majnun

Benarkah Matahari Tersangat Pijar?     -    Rosli K. Matari 


Rosli K. Matari

BENARKAH MATAHARI  
TERSANGAT PIJAR?


Aku
Majnun
Kutinggalkan namaku
Di atas pasir ini.

Nama
Untuk dibaca oleh Laila
Bahawa rinduku
Selalu ada di mana-mana.

Rindu yang bukan sahaja
Menjadi jiwa
Tetapi juga menjadi alam.

Selebihnya,
Air mata.

Ah, Laila.

Aku ini
Setetes embun,
Tetapi darah lagi menitik.

Aku ini
Bayang di tengah gurun
Awan jauh di kaki langit.

Kutatap senja
Untuk melihatmu,
Renunglah pula dinihari
Untuk mengenangku.

Kita
Jiwa bertemu jiwa
Bukan
Mata di depan mata.

Laila,
Di gurun ini
Benarkah matahari
Tersangat pijar?

Di sinilah,
Aku tertinggal.

Dalam rindu
Padamu,
Alangkah dinginnya
Matahari.


6 Feb 12

Rosli K. Matari